Friday 23 September 2011

Kasihi & Selalu Dekati Anak

ANAK-anak adalah permata paling berharga setiap pasangan. Mereka menjadi pelengkap kepada kebahagiaan yang dikecapi ibu bapa di dunia ini.
Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak mereka menjadi insan soleh dan solehah. Paling penting, anak perlu dilatih bersolat, dilatih mencium tangan serta memeluk dengan penuh kasih dan sayang.
Jika anak bijak dan sering memenangi pertandingan di sekolah, jangan lupa ucapkan tahniah, peluk dan cium mereka tanda penghargaan. Ketika usia mereka mencapai 14 hingga 21 tahun, jadikan mereka kawan.


Jangan pula pada usia begini ibu bapa mula merenggangkan hubungan dengan anak-anak hingga mereka menjadi anak derhaka. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Berguraulah dengan anak kamu ketika usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Selepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran).”


Ibu bapa mungkin mempunyai alasan tidak rapat dengan anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain iaitu apabila pulang di tengah malam, anak-anak sudahpun tidur, kita boleh pergi bilik dan mencium dahi mereka.


Walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup. Jangan tunjuk sikap panas baran dan pemarah kepada mereka. Jangan sesekali mengherdik mereka dengan perkataan negatif seperti kurang ajar, bodoh atau dengan sumpah seranah kerana ia boleh jadi doa buat mereka.


Orang tua biasanya, pantang sungguh apabila anak menegur kesalahan. Jangan berasa tercabar kerana bisa ular tidak hilang walaupun menyusur akar.


Saidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima.
Begitu juga Rasulullah s.a.w. kalau jumpa anak kecil, baginda hormat dan sayang.


Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah. Perasaan anak juga mesti dihargai.


Sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak dan kalau menegur pun dengan herdikan.
Anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan & orang lainlah tempat mereka mengadu, apabila jumpa orang baik tidak mengapa.




Jika Allah menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Apa caranya jika orang tua sudah meninggal dunia tetapi semasa hidypnya kita derhaka? Apabila insaf, selalulah ziarahi kubur emak ayah dan bacakan ayat suci untuknya.


Jumpa semula kawan atau jiran dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu reda dan Allah ampunkan dosa mereka.


Allah Maha Pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup pasti tidak tenteram.


Justeru, pertama, pastikan hubungan kita dengan Allah adalah baik kemudian turun pula ke peringkat kedua iaitu hubungan dengan ibu. Pastikan hubungan dengan ibu sentiasa harmoni dan lancar.


Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, Nabi s.a.w suruh utamakan ibu.


Sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biarlah sama supaya kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan.


Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka, kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua.


Bersabarlah dan teruskan hubungan baik dengan mereka. Kewajipan anak lelaki pertama sekali kepada Allah, kedua kepada Rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri.


Isteri kena faham, kalau suaminya sayang dan melebihkan ibu bapanya, itu memang wajar. Bagi anak perempuan pula keutamaan pertama adalah kepada Allah, kedua Rasul dan ketiga suami.


Justeru, jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.


Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail a.s. Suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah.


Isterinya pun tidak kenal mentuanya. Menantunya bersikap kasar menyebabkan Nabi Ibrahim berkecil hati. Sebelum pulang dia berpesan kepada menantunya, menyuruh suaminya supaya menukar alang rumah kepada yang baru.


Apabila Nabi Ismail pulang, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki itu, menyampaikan pesan kepada suaminya itu. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya.


Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, yang isterinya bukan daripada kalangan wanita berakhlak, lalu diceraikan.

Friday 16 September 2011

Usah ragu terhadap Allah


IMAN adalah membenarkan dengan hati, mengucapkan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan (beramal). Dengan demikian, iman kepada Allah bererti meyakini dengan sepenuh hati Allah itu ada.
Sebagai Muslim, jangan ada sebarang keraguan terhadap Allah. Kadang-kadang kita alpa untuk mencari dan mengenali Allah. Ilmuwan, ustaz serta mubaligh janganlah berputus asa dalam memperkenalkan Allah kepada penganutnya yang masih tercicir dengan ilmu tauhid ini. 
Gunakan segala kebijaksanaan dalam mengajar, manalah tahu cara berhikmah kita menjadi sebab untuk mereka akhirnya mencintai Allah terutamanya kepada yang setengahnya mengenal Tuhan menggunakan logik akal saja tanpa berpandukan hujah naqli (ayat al-Quran dan hadis). 

Islam sememangnya logik dan masuk akal walaupun berbicara mengenai perkara ghaib, qada dan qadar, jin dan sebagainya yang hanya nampak tersembunyi sedangkan sangat jelas kalau dilihat dengan dalil al-Quran dan hadis serta rohani yang bersih.



Sebagai contoh yang kita pernah dengar sekiranya kita membelek kitab ringan untuk mereka yang baru belajar, rasanya sangat sesuai untuk tatapan remaja di ruangan tazkirah kali ini.


Contohnya, kisah seorang pemuda yang belajar di negara barat kononnya mendakwa dirinya pandai. Apabila pulang ke tanah air, dia mencari orang pandai kerana ingin berhujah mengenai ketuhanan dan perkara ghaib. 


Akhirnya dia bertemu seorang tua yang alim. Tanya pemuda berkenaan: Anda siapa? Dan apakah boleh menjawab pertanyaan saya? 



Jawab orang tua berilmu itu: Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan cuba menjawab pertanyaan anda. 



Tanya pemuda: Anda yakin? Sedangkan profesor dan ramai orang pintar tidak mampu menjawab pertanyaan saya. 





Jawab orang tua alim itu: Insya-Allah saya akan mencuba sejauh kemampuan saya. 




1. Kalau memang Tuhan itu ada, tunjukkan kewujudan Tuhan kepada saya? 



2. Apakah yang dinamakan takdir? 



3. Kalau syaitan diciptakan dari api kenapa dimasukkan ke dalam neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan sebab mereka memiliki unsur yang sama. Sama-sama daripada api. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu? 



Tiba-tiba orang itu menampar pipi pemuda itu dengan kuat. Tanya pemuda itu sambil menahan sakit: Kenapa anda tampar saya, adakah marah kepada saya? 


Jawab orang alim itu: Saya tidak marah... tamparan itu adalah jawapan saya atas tiga pertanyaan yang anda ajukan kepada saya. 



Pemuda: Saya sungguh-sungguh tidak mengerti. 



Tanya orang alim: Bagaimana rasanya tamparan saya? 



Jawab pemuda: Tentu saja saya merasakan sakit. 



Tanya orang alim: Jadi anda percaya bahawa sakit itu ada? 



Jawab Pemuda: Ya. 



Tanya alim: Tunjukkan pada saya wujud sakit itu! 



Jawab Pemuda: Saya tidak mampu. 



Orang alim: Itulah jawapan pertanyaan pertama. Kita tidak nampak sakit tapi rasa sakit dan percaya adanya sakit itu. Allah tidak nampak tetapi kena percaya adanya Allah. Semua merasakan ada Tuhan tanpa mampu melihat wujudnya. 



Tanya orang alim: Apakah tadi malam anda bermimpi akan ditampar oleh saya? 



Jawab pemuda: Tidak. 



Tanya alim lagi: Apakah anda terfikir akan menerima tamparan dari saya hari ini? 



Jawab pemuda: Tidak. 



Si alim menjawab: Itulah yang dinamakan takdir, kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok dan hari-hari mendatang. 



Tanya si alim lagi: Tangan saya diperbuat daripada apa yang digunakan untuk menampar anda? 



Jawab pemuda: Kulit. 



Tanya si alim lagi: Pipi anda dibuat daripada apa? 



Jawab pemuda: Kulit. 



Tanya si alim lagi: Bagaimana rasanya tamparan saya? 



Jawab Pemuda: Sakit. 



Jawab si alim: Tangan saya dan pipi anda sama sahaja. Ada kulit, daging tetapi anda boleh rasa sakit juga. Jika Tuhan berkehendak maka neraka akan menjadi tempat menyakitkan untuk syaitan. 


Sebagaimana juga tangan saya sama ada daging atau kulit, sepatutnya anda tidak merasa sakit. 



Semoga contoh tidak seberapa ini akan menjadi iktibar mengenai yang ghaib dan tersembunyi sebenar ada dan mesti dipercayai.



(Tazkirah dari Ustaz Mohd Zawawi Yusoh)






Friday 15 July 2011

Kematian Yang Mulia

MEMANG amat tersentuh dan mengalir air mata ketika melihat jenazah adik-adik kecil yang dipanggil Pemiliknya. Mereka dikebumikan serentak dalam satu lahad.
Takziah kepada keluarga mangsa semoga tabah menghadapi ujian kehilangan yang tersayang. Al-Imam Qurtubi pernah merakamkan hadis nabi yang bermaksud, mati mengejut bagi orang yang baik adalah nikmat manakala mati mengejut bagi yang zalim dan jahat adalah azab.
Memang sedih apabila dengar berita kematian, tapi bagi yang tahu kategori kematian, ada anugerah di sebalik itu iaitu mati syahid.

Bagi keluarga yang sedang bersedih dengan tragedi terbabit, sedikit hiburan dari tulisan kali ini.


Ini kerana di sana ada satu senarai pakej kematian yang sangat mulia iaitu husnul khatimah atau mati syahid terutama di senarai yang ke lapan dan kesembilan dalam tulisan ini.

PERTAMA: Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “(Barang siapa yang ucapan terakhirnya Laa ilaaha illallah maka dia masuk syurga).” (Hadis Hasan)
Kedua: Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat atau peluh berdasarkan hadis Buraidah bin Hushaib r.a: Dari Buraidah bin Khusaib r.a (bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang membesuk seorang sahabatnya yang sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba keningnya berkeringat maka dia berkata: Allahu Akbar, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Kematian seorang mukmin disertai keringat di keningnya). (Hadis Sahih)

3: Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam Jumaat atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w (tidaklah seorang Muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah melindunginya daripada seksa kubur).

4: Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana ertinya: (Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan mereka. Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka dan memberi khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka di belakang janganlah mereka takut dan sedih. Mereka memberi khabar gembira dengan kenikmatan dari Allah dan kurnia-Nya dan bahawa Allah tidak mensia-siakan balasan bagi orang-orang beriman). (Surah Ali Imran ayat 169-171)
Rasulullah s.a.w bersabda: “(Orang yang syahid mendapatkan enam perkara: Diampuni dosanya sejak titisan darahnya yang pertama, diperlihatkan tempatnya dalam syurga, dijauhkan dari seksa kubur, diberi keamanan dari goncangan yang dahsyat di hari kiamat, dipakaikan mahkota keimanan, dinikahkan dengan bidadari syurga, diizinkan memberi syafaat bagi tujuh puluh anggota keluarganya.”

5 & 6: Mereka yang meninggal ketika berjuang di jalan Allah (bukan terbunuh) berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w: “(Apa yang kalian nilai sebagai syahid antara kalian? Mereka berkata: Ya Rasulullah siapa yang terbunuh di jalan Allah maka dia syahid. Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya syuhada’ umatku sedikit ). Mereka berkata: Lalu siapa mereka Ya Rasulullah?
Baginda berkata: (Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati kerana wabak taun syahid, barang siapa yang mati kerana penyakit perut syahid dan orang yang tenggelam syahid).”

7: Mati kerana satu wabak penyakit taun berdasarkan beberapa hadis antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda: (Wabak taun adalah kesyahidan bagi setiap Muslim).
Ketujuh: Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis di atas.

8 & 9: Mereka yang mati kerana tenggelam dan terkena runtuhan berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: (Syuhada ada lima: yang mati kerana wabak taun, kerana penyakit perut, yang tenggelam, yang terkena runtuhan dan yang syahid di jalan Allah).

10: Mereka yang matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan melahirkan anaknya: Dari Ubadah bin Shamit r. a bahawa Rasulullah s.a.w menjenguk Abdullah bin Rawahah dan berkata: Beliau tidak berpindah dari tempat tidurnya lalu berkata: Tahukah kamu siapa syuhada’ dari umatku? Mereka berkata: Terbunuhnya seorang Muslim adalah syahid. Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya para syuhada’ umatku, terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati kerana wabak taun syahid, wanita yang mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan tali arinya ke syurga).

11 & 12: Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit bengkak panas yang menimpa selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa hadis yang terkait yang paling masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’: (Syuhada’ ada tujuh selain terbunuh di jalan Allah: yang mati kerana wabak tha’un syahid, yang tenggelam syahid, yang mati kerana sakit bengkak yang panas pada selaput dada syahid, yang sakit perut syahid, yang mati terbakar syahid, yang mati terkena runtuhan syahid, dan wanita yang mati setelah melahirkan syahid).

13: Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Terbunuh di jalan Allah syahid, wanita yang mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang yang tenggelam syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati kerana sakit perut syahid). (Hadis Hasan)

14: Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak dirampas. Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya (dalam riwayat: barang siapa yang hartanya diambil tidak dengan alasan yang benar lalu dia mempertahankannya dan terbunuh) maka dia syahid).

15 & 16: Mereka yang mati kerana mempertahankan agama dan dirinya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana darahnya syahid).

17: Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga di perbatasan)
di jalan Allah. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa dan qiyamul lail selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan untuknya amalan yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan di amankan dari fitnah).

18: Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang mengucapkan: Laa ilaaha illallah mengharapkan wajah Allah lalu wafat setelah mengucapkannya maka dia masuk syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang siapa yang bersedekah dengan satu sedekah mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga).

19: Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana memberi nasihat kepadanya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Penghulu para Syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan seseorang yang mendatangi penguasa yang zalim lalu dia memerintahkan yang baik dan melarang dari yang mungkar lalu dia dibunuhnya) Hadis dikeluarkan oleh Al-Hakim dan disahihkannya dan Al Khatib.

Sama-samalah kita berdoa agar kita sama termasuk dalam senarai di atas. Amin Ya Rabbal ‘aalamin.



(Tazkirah dari Ustaz Mohd Zawawi Yusoh)

Saturday 21 May 2011

Contohi sifat positif lebah

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosak atau mematahkan (yang dihinggapinya).” (Ahmad, Al-Hakim, dan Al-Bazzar).

Seorang mukmin adalah manusia yang memiliki sifat unggul. Sifat berkenaan membuatnya memiliki keistimewaan dibandingkan dengan manusia lain.

Sehingga di mana pun mereka dia berada, ke mana pun mereka pergi, apa yang mereka lakukan, apa peranan dan tugas apa pun yang mereka lakukan selalu membawa manfaat dan maslahat bagi manusia lain.

Maka jadilah dia orang yang seperti dijelaskan Rasulullah, “Manusia paling baik adalah yang paling banyak memberikan manfaat bagi manusia lain.”



Kehidupan ini agar menjadi indah, menyenangkan, dan sejahtera memerlukan manusia seperti itu. Menjadi apa pun, dia akan menjadi yang terbaik; apa pun peranan dan fungsinya maka segala yang dia lakukan adalah hal yang membuat orang lain, menjadi bahagia dan sejahtera.

Nah, sifat yang baik itu antara lain terdapat pada lebah. Rasulullah SAW dengan penyataan dalam hadis di atas mengisyaratkan agar kita mencontohi sifat positif yang dimiliki oleh lebah.

Tentu saja, sifat itu sendiri memang adalah ilham daripada Allah SWT seperti mana yang Dia firmankan, “Dan Tuhanmu mewahyukan (mengilhamkan) kepada lebah: ‘Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia.

“Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.” (Surah An-Nahl ayat 68-69).

Sekarang, bandingkan apa yang dilakukan lebah dengan apa yang seharusnya dilakukan seorang mukmin, seperti berikut: Hinggap di tempat yang bersih dan menyerap hanya yang bersih.

Lebah hanya hinggap di tempat-tempat pilihan. Dia sangat jauh berbeza dengan lalat. Serangga yang terakhir amat mudah ditemui di tempat sampah, kotoran, dan tempat berbau busuk.

Tapi lebah ia hanya mendatangi bunga-bungaan atau buah-buahan atau tempat bersih lainnya yang mengandung bahan madu.

Begitulah pula sifat seorang mukmin. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu. (Surah Al-Baqarah ayat 168).

(Yaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Surah Al-A’raf ayat 157).

Kerananya, jika ia mendapatkan amanah dia akan menjaganya dengan sebaik-baiknya. Ia tidak akan melakukan rasuah, pencurian, penyalahgunaan sewenang-wenangnya, manipulasi, penipuan dan dusta.

Segala kekayaan hasil perbuatan tadi adalah khabaits (kebusukan). Mengeluarkan yang bersih. Siapa yang tidak kenal madu lebah. Semuanya tahu madu mempunyai khasiat kepada kesihatan manusia.

Tapi dari organ tubuh manakah keluarnya madu itu? Itulah salah satu keistimewaan lebah. Dia produktif dengan kebaikan, bahkan daripada organ tubuh yang pada binatang lain hanya melahirkan sesuatu yang menjijikkan ditemukan pula produk lebah selain madu yang juga diyakini mempunyai khasiat tertentu untuk kesihatan: air liurnya!

Seorang mukmin adalah orang yang produktif dengan kebajikan. “Hai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan buatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.” (Surah Al-Hajj ayat 77).

Al-khair adalah kebaikan atau kebajikan. Akan tetapi al-khair dalam ayat di atas bukan merujuk pada kebaikan dalam bentuk ibadah ritual. Sebab, perintah ke arah ibadah ritual sudah diwakili dengan kalimat “rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Rabbmu” (irka’u, wasjudu, wa’budu rabbakum).

Al-khair di dalam ayat itu bermakna kebaikan atau kebajikan yang buahnya dirasakan manusia dan makhluk lainnya. Segala yang keluar dari dirinya adalah kebaikan.

Hatinya jauh daripada prasangka buruk, iri, dengki; lidahnya tidak mengeluarkan kata-kata kecuali yang baik perilakunya tidak menysahkan orang lain melainkan malah membahagiakan; hartanya bermanfaat bagi banyak manusia; kalau dia berkuasa atau memegang amanah tertentu, dimanfaatkannya untuk sebesar-besar manfaat manusia.

Tidak pernah merosak seperti yang disebutkan dalam hadis yang sedang kita bahas ini, lebah tidak pernah merosak atau mematahkan ranting yang dihinggapi.

Begitulah sifat seorang mukmin. Dia tidak pernah melakukan kerosakan dalam hal apa pun: baik material mahupun bukan material. Bahkan dia selalu melakukan kebaikan terhadap orang lain.

Dia melakukan kebaikan akidah, akhlak, dan ibadah dengan cara berdakwah. Mengubah kezaliman apa pun bentuknya dengan cara berusaha menghentikan kezaliman itu.

Jika kerosakan terjadi akibat rasuah, ia perlu membanterasnya kemudian menjauhi perilaku buruk itu. Berbalik kepada lebah, ia serangga yang kuat bekerja.

Ketika muncul pertama kali dari biliknya (menetas), lebah membersihkan bilik sarangnya untuk telur baru dan setelah berumur tiga hari ia memberi makan larva, dengan membawakan serbuk sari madu.

Begitulah, hari-harinya penuh semangat berkarya dan beramal. Bukankah Allah pun memerintahkan umat mukmin untuk bekerja keras? “Maka apabila kamu selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain.” (Surah al-Insyirah ayat 7).

Kerja keras dan semangat pantang undur itu lebih dituntut lagi dalam upaya menegakkan keadilan. Meskipun memang banyak yang cinta keadilan, namun kebanyakan manusia kecuali yang mendapat rahmat Allah- tidak suka jika dirinya “dirugikan” dalam menegakkan keadilan.

Bekerja secara berkumpulan (jama’i) dan tunduk pada satu pimpinan. Lebah selalu hidup dalam kelompok besar, tidak pernah menyendiri.

Mereka pun bekerja secara kolektif dan masing-masing mempunyai tugas sendiri. Ketika mendapatkan sumber sari madu, mereka akan memanggil teman-temannya untuk menghisapnya.

Demikian pula ketika ada bahaya, seekor lebah akan mengeluarkan feromon (suatu zat kimia yang dikeluarkan oleh binatang tertentu untuk memberi isyarat tertentu) untuk memanggil teman-temannya untuk membantu dirinya.

Itulah seharusnya sikap orang beriman. “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah Ash-Shaff ayat 4).

Tidak pernah melukai kecuali kalau diganggu. Lebah tidak pernah memulakan serangan. Ia akan menyerang ketika terasa terganggu atau terancam.

Untuk mempertahankan “kehormatan” umat lebah itu, mereka rela mati dengan melepas sengatnya di tubuh pihak yang diserang. Sikap seorang mukmin: musuh tidak dicari.

Tapi jika ada, tidak lari. Itulah beberapa karakter lebah yang perlu dicontohi orang beriman. Bukanlah sia-sia Allah menyebut dan mengabadikan binatang kecil itu dalam al-Quran sebagai salah satu nama surah: An-Nahl. Allahu a’lam.



(Tazkirah dari Ustaz Mohd Zawawi Yusoh)

Friday 15 April 2011

Perilaku Ayah Jadi Model(ikutan) Anak

AYAH adalah pelukis kehidupan anak-anaknya. Bahkan kejayaan hidup anak adalah berpunca daripada hasil dorongan dan peranan ayah sebagai guru dan murabbi.

Kehidupan seorang ayah menampilkan bentuk kehidupan sebenar yang akan dimiliki anaknya pada satu masa nanti. Masa muda seorang anak adalah waktu mereka sentiasa ingin melihat perkara baru dan ingin mencubanya.

Mereka mula menapak mencari jalan hidupnya sendiri dan melakukan sesuatu yang mirip dengan apa yang dapat dilakukan ayahnya.

George Bernard Shaw mengatakan "Masa muda adalah masa terindah; sayang sekali orang muda suka mensia-siakannya." Ayah adalah pengantar anaknya untuk masa muda dengan hal yang dapat mendatangkan manfaat.


Prinsip berkongsi manfaat yang diajarkan al-Quran kepada kita adalah kebaikan yang dilakukan kepada orang lain. Pada akhirnya akan kembali kepada pelakunya sendiri.


Kitalah yang akan lebih banyak menerima manfaat daripada orang yang menerima pertolongan kita. Allah SWT berfirman di surah Al-Isra' ayat ke-7 yang bermaksud: "Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri."

Sumbangan terbesar seorang ayah dalam hidup anaknya ialah ketika dia mampu membentuk anaknya menjadi insan yang soleh dan solehah untuk umat ini.

Mereka menjadi Muslim yang kuat, menjadi duta masyarakatnya dengan ilmu yang dimilikinya. Dari sahabat Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mukmin yang kuat lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah, dan masing-masing memiliki kebaikan. Bersemangatlah terhadap hal-hal yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan jangan berasa malas, dan apabila engkau ditimpa sesuatu maka katakanlah "Qodarulloh wa maa syaa'a fa'al, ditakdirkan Allah dan apa yang Dia kehendaki pasti terjadi" (Hadis riwayat Muslim).

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa yang ditujukan kepada orang tua, "Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar." (Surah An-Nisa ayat 9).

Dalam tafsir, Ibnu Katsir mengatakan Ali bin Abi Thalhah berkata dari Ibnu 'Abbas: "Ayat ini berkenaan dengan seorang lelaki yang meninggal, kemudian seseorang mendengar dia memberikan wasiat yang membahayakan ahli warisnya, maka Allah SWT memerintahkan orang yang mendengarkannya untuk bertakwa kepada Allah serta membimbing dan mengarahkannya kepada kebenaran."

Kejayaan masa depan anak bukan kerana umur atau kemampuan yang dimilikinya. Seorang ayah semestinya melukis sebaik mungkin.

Kecantikan lukisan itu dilakar daripada kesesuaian warnanya.

Paduan warna yang indah disertai adunan warna yang anggun membentuk pelangi di langit. Warna biru dan putih membentuk warna air di laut lepas.

Warna hijau membentuk suasana pepohon yang berjajar terlihat anggun. Semua lukisan kreatif si ayah membentuk semua warna kehidupan si anak.

Mencipta kecemerlangan anak adalah tugas mulia seorang ayah. Mendidik anak sehingga berjaya adalah satu proses yang panjang. Tidak mustahil akan dipertemukan pada saat anak sudah berumur dan ayah menjelang umur kematian.

Proses penemuan ini memerlukan ketekunan, kekuatan kesabaran daripada orang tuanya, khususnya ayah. Sebab itu, dalam melukis masa depan anak, seseorang ayah ada tiga bekalan yang tidak boleh ditinggalkannya, iaitu sabar, sabar dan sabar.

Kesabaran seperti yang dimiliki Nabi Yaakub ketika menghadapi kejahatan abang-abang Nabi Yusuf sehingga membawa kehilangan anaknya yang tercinta itu.

Kesabaran Nabi Yaakub itu diabadikan Allah SWT di dalam al-Quran dalam Surat Yusuf ayat 18 yang bermaksud: "Dan mereka datang membawa baju Yusuf (yang berlumuran) dengan darah palsu. Berkata bapanya: Bahkan dirimu menghiaskan (memandang baik) urusan itu. Sabarlah yang lebih baik. Dan kepada Allah meminta pertolongan tentang apa yang kamu terangkan itu." (Surah Yusuf ayat 18).

Pengetahuan seorang nabi tidak menjadikan Nabi Yaakub mengherdik anak-anaknya. Pengetahuan kenabian yang tidak diketahui anak-anaknya, tidak menyebabkan Yaakub membela pendapatnya, "Memang kamu salah, dan aku tahu aku yang paling benar."

Akan tetapi Nabi Yaakub menguatkan kesabaran dengan mengucapkan, "Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku)." Subhanallah.




(Tazkirah dari Ustaz Mohd Zawawi Yusoh)

Monday 11 April 2011

Amanah Membawa Berkat dan Rahmat

DALAM sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Amanah menarik rezeki, khianat mengundang kefakiran”. Sesungguhnya contoh terbaik dalam bersifat amanah adalah Nabi Muhammad sendiri.

Rasulullah sangat suka kepada orang bersifat amanah. Amanah membawa berkat dan Allah pasti memberikan rahmat. Apakah yang dimaksudkan dengan amanah?

Amanah bermaksud kejujuran, kepercayaan, melaksanakan sesuatu dengan betul mengikut lunas Islam. Ia juga bermaksud tanggungjawab yang diserahkan orang lain kepada kita dan perlu menunaikan sebaik-baiknya tanpa sebarang penyelewengan.

Ia adalah sifat kedua yang wajib bagi rasul. Firman Allah: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan dan melaksanakan amanah (bertanggungjawab) terhadap orang-orang yang memberikan amanah itu. Dan apabila kamu menghukum antara manusia, lakukanlah dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pelajaran yang amat baik padamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. (Surah An-Nisa’ ayat 58)


Setiap orang sewajarnya menanamkan rasa tanggungjawab berkenaan sedalam-dalamnya di dalam dada. Selain daripada peraturan supaya orang menunaikan amanah dengan baik, perlu ditanamkan rasa iman dan takwa kepada Allah yang selalu memerhatikan segala tindak-tanduk manusia.


Iman dan takwa lebih berkesan daripada undang-undang. Dengan merasakan tanggungjawab itu sebagai satu kewajipan daripada Allah dan disertai dengan undang-undang, setiap rakyat dapat menunaikan tanggungjawab padanya, maka amanlah negara dan masyarakat daripada segala penyelewengan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang mukmin! Janganlah kamu berkhianat kepada Allah dan Rasul (Muhammad) dan juga janganlah kamu mengkhianati (memungkiri) amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedangkan kamu mengetahui”. (Surah Al-Anfal ayat 27)

Allah menjanjikan tempat yang baik di akhirat untuk hamba-Nya iaitu: Orang-orang yang beriman termasuk: orang yang khusyuk dalam solatnya, orang yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna, orang yang membayar zakat, orang yang memelihara kehormatannya dan menjaga nafsunya dan orang-orang yang memelihara amanah dan menepati janjinya.

Mereka dijanjikan syurga Firdaus dan kekal di dalamnya. (Surah Al-Mu’minun ayat 1 hingga 10). Apa yang berlaku apabila amanah tidak dipelihara?

Apabila amanah tidak lagi menjadi pegangan maka berlakulah khianat. Menurut Kamus Dewan, khianat bermaksud perbuatan jahat yang bertujuan menganiaya atau mendatangkan kecelakaan ada orang lain, tipu daya, perbuatan belot dan tidak setia.

Perbuatan khianat itu berlawanan dengan amanah dan sangat buruk di sisi Islam. Ini kerana khianat adalah termasuk di dalam perbuatan munafik.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Tanda munafik ada tiga: Jika berkata ia dusta, jika berjanji ia mungkir dan apabila mengikat janji setia ia khianat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Khianat boleh membawa kepada fitnah. Kedua-dua perbuatan ini adalah dahsyat dan boleh membawa kehancuran kepada seseorang atau organisasi.

Allah menjanjikan seksaan amat dahsyat kepada orang yang khianat dan pembawa fitnah. “Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahanam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.” (Surah Al-Buruuj ayat 10)

Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada perbuatan khianat antaranya mempunyai perasaan permusuhan dan kebencian. Benci membawa kepada permusuhan.
Apabila menjadi musuh, mula timbul perasaan khianat. Kedua, berasa diri mulia. Apabila melihat orang lain lebih daripadanya, muncullah perasaan iri hati dan khianat.

Ketiga, takbur dan ujub. Mereka berasa takbur dan ujub dengan diri sendiri kerana merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Keempat, takut terlepas sesuatu tujuan atau habuan serta ghairah mencari ketua dan mencari populariti.

Akibat ingin mengejar habuan dan populariti, orang lain sanggup dikhianati. Sementara yang terakhir adalah busuk hati. Sesungguhnya busuk hati mengundang khianat dan membawa kepada fitnah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang menyakiti Mukmin lelaki dan perempuan (dengan membuat fitnah) padahal mereka (orang-orang yang beriman itu) tidak berdosa maka sesungguhnya pembawa fitnah itu memikul beban pendustaan dan dosa yang nyata.” (Surah Al-Ahzab ayat 58)

Perasaan dan perbuatan khianat boleh dihentikan dengan menanamkan rasa amanah. Apabila amanah dijadikan pegangan, amanah pada Allah, Rasul-Nya, diri sendiri, tanggungjawab dan masyarakat, akan terhentilah niat mengkhianati amanah.

Bagaimana hendak mendidik sifat amanah? Sifat amanah sebenarnya patut ditanamkan sejak daripada kanak-kanak lagi. Ibu bapa hendaklah mendidik anak dengan sifat ini supaya apabila dewasa, mereka tidak melanggar amanah.

Bagi menjaga amanah, pertama, kita hendaklah menjaga tutur bicara. Janganlah selalu membicarakan hal yang diamanahkan kepada kita kepada orang lain.

Kita hendaklah menjaga aib dan kehormatan orang lain. Kita juga perlu menjaga janji kerana mendustakan janji termasuk di kalangan orang-orang munafik.

Kepada mereka yang pecah amanah dan menipu sebenarnya kita tidak senang dengan pendapatan hasil daripada menipu. Kepada penipu, insaflah dan yang tertipu pula bergembiralah kerana pengalaman mengajar siapa yang boleh diberi amanah dan tidak, siapa yang boleh dijadikan kawan atau musuh.

Friday 8 April 2011

Memberi Maaf : Sangat Mulia di sisi Allah


Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi s.a.w., Rasulullah bersabda:
Musa bin Imran bertanya: "Hai Tuhanku, siapakah hambaMu yang paling mulia di sisiMu?
FirmanNya: "Siapa yang mengutamakan kemaafan sedangkan dia mampu untuk membalas kejahatan org lain."
Seseorang itu sepatutnya bersedia, redha, sabar di saat hati yang dihiris dengan kesedihan.
Kita selalu alpa bahawa setiap orang yang telah menambah nilai erti kehidupan kita akan berakhir. Mereka akan pergi meninggalkan kita. Atau kita yang akan berjauhan meninggalkan mereka.
Hari ini kita telah menjadi seseorang. Kita telah menemui pelbagai ragam manusia yang mungkin menyakitkan, mungkin juga menggembirakan. Kita telah pelajari sebuah kehidupan yang sebenar.

Adakah anda berterima kasih kepada mereka? Yang pernah menambah asam garam gula dalam resepi kehidupan ini?
Seringkali kita mendengar, "manusia tidak pernah lari dari buat kesilapan", untuk kita sentiasa mengaku bahawa setiap insan tidak sempurna dirinya. Lantas menjadikan "manusia belajar melalui kesilapan", walaupun yang membuat kesilapan itu adalah orang lain.
Kadangkala kita rasa sakit hati atas perbuatan seseorang itu. Mungkin sakitnya hati itu tidak dirasai oleh orang yang menyakiti.

Namun sedarkah kita bahawa dia mungkin telah mengajar kita erti kehidupan atas perbuatan melukai hati kita? Mengapa kita terlalu keras hati sehingga terlalu mahal harga kemaafan kita?
Mengapa seseorang itu merumitkan lagi masalah dengan tidak memaafkan? Sedangkan, lebih mudah menyelesaikan masalah yang rumit itu dengan memaafkan?
Tahukah kita bahawa Rasulullah saw. telah menjadi orang yang berjaya kerana dirinya yang sangat pemaaf? Baginda dibenci, Baginda dicaci, didengki, namun kerana memahami semua itu adalah hakikat manusiawi, Baginda memaafkan.
Walaupun Rasulullah itu maksum, bersih hati jiwanya, dan kita tidak mempunyai ciri-ciri tersebut. Tapi bukankah nabi untuk kita mencontohinya?
Disini kita harus tanya diri kita sendiri/analisis(muhasabah diri) siapalah kita & berhakkah kita untuk tidak memaafkan orang lain walhal Rasululllah yang mulia itu sendiri memaafkan kesalahan orang yang menganiaya baginda?
Dan bila kita tidak memaafkan orang lain, perhubungan silaturrahim itu akan terputus & kita sudah menjadi faktor(penyebab) terputusnya persaudaraan? Adakah anda ingin menjadi orang yang memutuskan persaudaraan yang mengakibatkan anda rugi.
Sesungguhnya amat rugilah orang yang memutuskan persaudaraan, ini kerana Allah telah berfirman yang membawa maksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." - [Al-Hujurat : 10]

Friday 1 April 2011

Dosa Racuni Hati dan Perasaan


MENJADI nikmat paling berharga dalam kehidupan manusia apabila memiliki jiwa tenang. Jiwa tenang akan sentiasa berbahagia dalam mengharungi setiap cabaran, malah masih mampu tersenyum menghadapinya.


Jiwa tenang tidak mudah berputus asa, mengeluh dan berperasaan hasad dengki kerana semua sifat mazmumah itu boleh memusnahkan diri.


Semua cabaran kehidupan perlu dihadapi dengan sikap positif kerana perjuangan memupuk sifat terpuji akan melahirkan jiwa tenang. Dalam dunia moden ini, penyakit jiwa dikenali sebagai gangguan psikologi.


Ia memerlukan rawatan segera kerana kesannya amat buruk sekali kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Alangkah manisnya jika kita memiliki jiwa yang penuh dengan ketenangan dan ketenteraman.


Kegelisahan yang melanda diri seseorang menyebabkan mereka mengalami kebingungan. Ketika itu diri terasa tiada tempat lagi untuk mengadu.


Jiwa tak tenteram sebenarnya mempunyai sebab tersendiri. Antara sebab utamanya adalah melakukan dosa. Dosa adalah racun yang meracuni hati dan perasaan.


Maka kita mesti menjauhi segala kejahatan yang disebabkan daripada anggota badan. Tujuh anggota badan paling berpengaruh dalam melakukan dosa adalah mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki sehingga ada ulama yang mengatakan, Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai tempat menyeksa anggota yang melakukan dosa.



Mata hendaklah digunakan bagi melihat perkara yang baik dan indah, bukan yang haram atau yang lucah. Telinga mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar sesuatu yang mengandungi nilai maksiat dan haram seperti mendengar umpatan dan fitnah.


Perut mesti diisi dengan makanan yang halal. Sebab yang menjadikan diri tidak tenang juga berpunca daripada hati kotor. Bukan saja dengan dosa tapi juga akhlak tercela.


Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing." Dimaksudkan dengan malaikat ialah ketenangan yang dibawa. Rumah pula ialah hati manakala anjing adalah menggambarkan sifat dan akhlak tercela.



Jika kita mempunyai akhlak tercela, hati bertindak sebagai rumah itu pasti menjadi kotor dan ketenangan tidak akan datang menjenguk.


Malaikat rahmat tidak akan berada di tempat tinggal mereka tetapi syaitan yang akan 'menetap'.


Sifat tercela membuatkan seseorang sering menjadi risau. Hasad dengki pula membuatkan mereka tidak suka melihat orang senang, bersifat takbur, ego serta sombong.


Itulah tekanan pertama dialami syaitan ketika kejadian Adam a.s kerana bimbang Adam menandinginya. Begitu juga ujub dan riak kerana sifat demikian berpunca daripada perasaan mereka mahu dilihat sempurna sedangkan orang lain dipandang rendah.


Begitu juga sifat bakhil atau kedekut. Mereka tidak akan pernah tenang, hatinya akan terikat dengan harta, cinta harta tak salah tapi kedekut itu buat orang gundah.


Cintakan kemasyhuran dan popular langsung tiada perasaan rendah diri, hati akan gelisah. Sifat pemarah membuatkan orang menjadi pendendam. Hanya rasa takut kepada Allah saja boleh menghilangkan rasa marah itu.



Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia bagaimana untuk merawat jiwa yang tidak tenteram. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi penasihat (pengajaran) daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin (jiwa) yang ada di dalam dada kamu serta menjadi petunjuk (hidayah) untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman." (Surah Yunus ayat 57).



Bahkan amalan membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran mampu mententeramkan jiwa. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tidak berkumpul sesuatu kaum di dalam sesebuah rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca kepadanya Kitab Allah (al-Quran) dan membincangkannya bersama-sama, melainkan turun ke atas mereka 'as-sakinah' (ketenangan) dan diliputi mereka dengan rahmat dan dinaungi mereka oleh malaikat dan Allah menyebut amalan mereka itu di hadapan makhluk Allah yang ada di sisi-Nya." (Riwayat Bukhari )



(Tazkirah dari Ustaz Mohd Zawawi Yusoh)

Friday 25 March 2011

Lupa Diri Sendiri jika Lupakan Allah

MANUSIA sering lupa. Ia menjadi kelemahan manusia yang menyebabkan hilang fokus terhadap amalan dan pekerjaan yang mereka lakukan.

Lupa juga berlaku kerana isteri ramai, asyik memikirkan cara untuk mengelak daripada dimarahi dan strategi sebagai penyelamat daripada diserang.

Namun, punca lupa yang paling menakutkan ialah apabila banyak lupa kepada Allah. Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud: "Janganlah kamu menjadi seperti orang yang melupai Allah, nanti Allah akan membuatkan kamu lupa diri kamu sendiri."

Lupa diri sendiri menurut ulama antara maksudnya ialah lupa pada hari akhirat. Ada yang lupa amalan dosa yang dilakukan hingga tidak terasa untuk bertaubat.


Selain itu, mereka lupa tanggungjawab sebagai suami, isteri dan anak, sehinggakan lupa fungsi hidup, lupa sebagai seorang pekerja, lupa tugas, lupa tanggungjawab dan amanah, lupa pada janji dan sebagainya.

Disebabkan terlalu banyak lupa, kita mesti selalu mengingati Allah dengan memberi peringatan serta melakukan analisis (muhasabah) terhadap diri sendiri.

Nasihat Imam al-Ghazali yang sangat mendalam, semoga ia menjadi bahan muhasabah kita. Suatu hari, Imam al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya.

Imam al-Ghazali bertanya (pertama): "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?" Murid-muridnya ada yang memberikan jawapan orang tua, guru, teman dan kerabatnya.

Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah 'mati'. Sebab itu sudah janji Allah setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Lihat Surah Ali-Imran ayat 185).

Lalu Imam al-Ghazali meneruskan pertanyaan kedua: "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?" Murid-muridnya ada yang menjawab China, bulan, matahari dan bintang.

Imam al-Ghazali menjelaskan semua jawapan yang mereka berikan adalah benar, tetapi yang paling benar adalah 'masa lalu.'

Walau bagaimana hebat sekalipun kita, kita tidak boleh kembali kepada masa lalu. Oleh itu, kita perlu menjaga hari ini dan hari akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.

Lalu Imam al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan ketiga: "Apa yang paling besar di dunia ini?" Ada muridnya yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar, kata Imam al-Ghazali.

Tetapi, katanya, yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah 'nafsu' (sila rujuk Surah al-A'raaf ayat 179)
. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan nafsu, jangan sampai nafsu menjerumuskan diri ke lembah neraka.

Pertanyaan keempat: "Apa yang paling berat di dunia ini?" Ada yang menjawab baja, besi dan tidak kurang yang mengatakan gajah.

Imam al-Ghazali berkata semua jawapan itu namun yang paling berat adalah 'memegang amanah.' (lihat Surah al-Ahzab ayat 72).

Tumbuhan, haiwan, gunung malah malaikat juga semuanya tidak mampu ketika Allah t meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini.

Bagaimanpun, manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah sehingga ramai manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima: "Apa yang paling ringan di dunia ini?" Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan dedaun. Semua itu benar, kata Imam al-Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini ialah 'meninggalkan solat.'
Gara-gara keletihan dengan tugasan seharian kita meninggalkan solat. Pertanyaan keenam ialah:
"Apakah yang paling tajam di dunia ini?" Murid-muridnya menjawab dengan serentak iaitu pedang.

Benar kata Imam al-Ghazali, tetapi menurutnya yang paling tajam ialah 'lidah manusia.' Ini kerana melalui lidah manusia dengan mudah menyakiti hati dan melukai perasaan rakan sendiri.

Sunday 20 March 2011

Tiada Sial dan Majal dalam Islam



APA guna dipanggil kemajuan dan kemodenan sekiranya pemikiran, akhlak, cara hidup dan sifat mulia kemanusiaan semakin terhakis?


Kemajuan teknologi contohnya sepatutnya menjadikan sesuatu maklumat disebar untuk kebaikan tetapi disalah guna untuk tujuan yang salah.


Dalam mengejar kemajuan, akhlak murni perlu dijaga. Maka amat perlu sekali kita menilai kembali erti kemodenan yang sedang kita impikan.

Kemodenan yang hakiki ialah kebebasan akal menerawang mengenali. Cukup membimbangkan jika kita menikmati kemajuan dengan minda dan pemikiran yang beku dan jumud.

Hidup ini tertakluk kepada peraturan yang sarat dengan nilai mulia sejagat, sesuai di semua tempat di samping hidup berpandukan peraturan yang tahan diuji sepanjang zaman.
Bukan saja bertahan, lama tapi berjaya menyisihkan cara hidup buatan manusia yang amat terbatas; sekejap ada dan sekejap tidak ada, kadang-kadang putik dan kadang-kadang berulat serta buruk.

Lebih mendukacitakan, adakah kita dipanggil moden sekiranya pemikiran masih dibayangi perkara dengan sial dan majal terhadap sesuatu yang langsung tidak punya kuasa?

Bukan sekadar terbelenggu, tetapi sudah percaya dan sudah termasuk sebagai rujukan dan penentuan dalam membuat sesuatu sebarang keputusan.

Bayangkan ada yang percaya kepada nombor membawa sial dan majal.

Dalam hal ini, Imam Bukhari pernah meriwayatkan daripada Rasulullah, yang bersabda yang bermaksud: "Tiada sial dan majal dalam Islam".

Dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tiada sial pada sesuatu burung".

Malah, mempercayai sial dan majal membawa kepada syirik sebaliknya Allah menggantikan dengan konsep tawakal.

Adakah wajar seseorang yang bersiap untuk ke tempat temuduga tiba-tiba sampai ke tempat itu, dia mendapati bilik temu duga berkenaan bernombor 13 lalu tidak meneruskan sesi temu duga terbabit kerana merasakan nombor itu membawa sial.

Begitu juga dengan perkahwinan, ada yang percaya berkahwin pada bulan Safar membawa sial. Ia amat bercanggah dengan prinsip agama.

Sesetengah daripada kita tidak jadi hendak membeli rumah semata-mata kerana dianggap sial. Dalam suasana payah hendak mendapat kerja dan pasangan, ada yang percaya dengan memakai gelang dia akan memberi 'semangat'.
Tidak kurang juga yang percaya kepada kuasa bunga dengan nama 'mandi bunga'. Bunga untuk hiasan dan kecantikan bukannya ada kuasa luar biasa.

Islam tidak pernah menolak kemajuan yang berasaskan kajian dan penemuan moden. Perubatan moden diharuskan. Namun begitu kuasa penyembuh hanyalah pada tangan Allah.

Doktor hanya merawat dan berikhtiar tetapi yang menyembuh hanyalah Allah. Kita boleh memilih doktor mana yang serasi untuk merawat kita, tetapi bukan dia yang menyembuh.

Jika betul ikhtiar dan ubat bertepatan dengan kehendak Allah maka sembuhlah apabila sampai masanya.

Menjadi kesalahan besar sekiranya seorang gadis atau wanita sanggup berbuat apa sahaja, terpaksa menyerah maruah dan diri demi menagih cinta dari kekasihnya. Fikirnya jika tidak ikut kehendak si dia nanti tidak dicintai pula dan ada risiko ditinggalkan.

Yang menentukan jodoh bukannya manusia. Manusia hanya merancang kerana yang menentukan adalah Allah.

Kekolotan minda akidah remaja inilah menyebabkan berlakunya pelbagai masalah yang akhirnya mereka sendiri yang merana.

Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, amalan memberi rasuah membawa syirik. Ia bukan sekadar dosa besar, sebab yang membawa kepada syirik kerana anggapan pemberi rasuah 'jika aku tidak beri, maka pasti tidak dapat'.

Ini yang rosak iman kerana anggapan pemberi rezeki sudah beralih daripada Allah kepada manusia. Bagi melariskan kedai perniagaan pekedai mula guna pelaris termasuk ayat seribu dinar.

Peniaga mungkin terlupa bagaimana nabi menjalankan perniagaan, untung besar tetapi tidak guna pelaris. Begitu juga sahabat nabi, Abd Rahman bin Auf buat untung besar tanpa menggantung apa-apa ayat.

Tiada rahsia khusus kerana
kejayaan sesuatu itu adalah berpunca daripada ilmu, usaha keras, kemahiran serta tawakkal kepada Allah.







(Tazkirah dari Ustaz Mohd Zawawi Yusoh)

Friday 11 March 2011

Syukur, Sabar, Taubat: Kebahagiaan Abadi

BAHAGIA adalah keinginan yang dicita-cita semua orang. Tidak kira sesiapa pun kita sana ada mukmin atau kafir.

Malah, seorang pelacur pun ingin menikmati kebahagiaan melalui kegiatan pelacuran yang dilakukan.
Meskipun semua orang ingin bahagia, ramai manusia tidak mengetahui bahagia yang sebenarnya tidak mengetahui cara untuk meraihnya. Ramai beranggapan orang Barat hebat.Mereka dianggap hidup penuh dengan kebahagiaan, suami isteri sering berpegang tangan ketika berjalan nampak macam ada ketenteraman serta ketenangan.

Sebenarnya, fakta tidak sama dengan realitinya. Lihatlah tragedi pembunuhan yang amat tragik, hidup mereka penuh kebebasan tanpa sempadan & dengan mudah maruah digadai menerusi 'free love' & 'free sex'. Mereka seronok tetapi tidak bahagia. Seronok hanya sementara berbanding bahagia. Malah, seronok hanya nafsu & fizikal yang tidak tahan lama selain keseronokan tanpa bahagia biasanya berakhir dengan penderitaan.

Hakikatnya, tidak ada ketenangan & kebahagiaan apabila derhaka kepada Allah. Kebahagiaan seseorang mukmin kian bertambah ketika dia dekat dengan Tuhannya, semakin ikhlas & mengikuti petunjuk-Nya. Kebahagiaan seseorang mukmin semakin berkurang jika hal diatas makin berkurang dalam dirinya. Seseorang mukmin sejati selalu merasakan ketenangan dalam hati.

Dia menyedari Tuhan yang mengatur segala sesuatu dengan kehendak-Nya. Apa itu bahagia?
Bahagia adalah sesuatu yang abstrak, tidak boleh dilihat dengan mata, tidak boleh diukur dengan angka tertentu & tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Kebahagiaan adalah sesuatu yang dirasakan seseorang insan dalam dirinya. Hati yang tenang, dada lapang & jiwa tidak dirundum malang, itulah kebahagiaan.

Bahagia itu muncul dari dalam diri seseorang & tidak boleh didatangi dari luar. Tanda kebahagiaan, Imam Ibnu Al-Qoyyim mengatakan bahawa tanda kebahagiaan itu ada 3.
TIGA perkara berkenaan adalah
bersyukur ketika mendapat nikmat, bersabar ketika menerima dugaan & bertaubat ketika melakukan kesalahan. Beliau mengatakan: Sesungguhnya 3 perkara itu tanda kebahagiaan seseorang hamba & tanda keberuntungannya di dunia & di akhirat. Seseorang hamba tidak pernah terlepas dari 3 perkara itu.

Bersyukur ketika mendapat nikmat:
Seseorang manusia selalu berada dalam nikmat Allah. Meskipun demikian, ternyata hanya orang yang berimanlah yang menyedari adanya nikmat itu & berasa bahagia dengannya. Lantaran itu, hanya merekalah yang mensyukuri nikmat, mengakui adanya nikmat & menyanjung zat yang dianugerahkannya.

Syukur dibina atas 5 prinsip iaitu:
Ketundukan orang yang bersyukur kepada yang memberi nikmat.
Rasa cinta kepada yang memberi nikmat.
Mengakui adanya nikmat yang diberikan.
Memuji yang memberi nikmat.
Tidak menggunakan nikmat dalam hal yang tidak disukai oleh yang memberi nikmat.

Justeru, siapa saja yang berpegang pada 5 prinsip di atas pasti merasakan kebahagiaan di dunia & di akhirat. Sebaliknya, jika 5 prinsip di atas tidak dilaksanakan dengan sempurna menyebabkan kesengsaraan selamanya.

Sabar ketika menerima dugaan:
Dalam hidup ini disamping ada nikmat yang harus di syukuri, ada juga pelbagai ujian/dugaan daripada Allah & wajib kita bersabar ketika menghadapinya.

Ada 3 rukun sabar yang harus di penuhi supaya kita boleh dianggap benar-benar bersabar:
Menahan hati untuk tidak berasa marah terhadap ketentuan Allah.
Menahan lisan untuk tidak mengadu kepada makhluk.
Menahan anggota badan untuk tidak melakukan hal yang tidak dibenarkan kerika terjadi musibah seperti menampar pipi, merobek baju & sebagainya.

Inilah 3 rukun kesabaran, jika kita mampu melaksanakannya dengan benar, dugaan pasti berubah menjadi sebuah kenikmatan.

Bertaubat ketika melakukan kesalahan:
Jika Allah menghendaki seseorang hamba untuk mendapatkan kebahagiaan & keberuntungan di dunia & di akhirat, Allah pasti menberi taufik kepada dirinya untuk bertaubat, merendahkan diri dihadapan-Nya serta mendekatkan diri kepada Allah dengan pelbagai kebaikan yang mampu untuk dilaksanakan.

Hasan al-Bashri mengatakan:"Carilah kenikmatan & kebahagiaan dalam 3 hal iaitu dalam Solat, Berzikir & Membaca Al-Quran, jika tidak kalian dapatkan 3 hal itu maka sedarilah bahawa pintu kebahagiaan sudah tertutup bagimu."

Malik bin Dinar mengatakan, "Tidak ada kelazatan selazat mengingati Allah". Ada ulama' salaf yang mengatakan, "Pada malam hari orang gemar solat malam itu merasakan kelazatan yang lebih dari kelazatan yang dirasakan orang yang bergelumang dalam hal yang sia-sia. Seandainya bukan kerana adanya malam tentu aku tidak ingin hidup lebih lama di dunia ini."

Imam Ibnu Qoyyim bercerita bahawa: Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan: "Sesungguhnya dalam dunia ini ada syurga. Barang siapa belum pernah memasukinya maka dia tidak memasuki syurga di akhirat kelak."



(Tazkirah dari
Ustaz Mohd Zawawi Yusoh)

Fans

Update Facebook dengan Islamic