Friday 20 July 2012

Antara telefon rosak dan hati rosak



KALAULAH telefon bimbit kita rosak je, secepat kilat kita pergi baiki bukan? Maklumlah penting sangat nak berkomunikasi. Kalau rosak siang tak tunggu malam, kalau rosaknya waktu malam, memang tak sempat siang dah cuba hendak baiki juga. Dalam banyak perkara penting, kita lupa perkara yang tersangat2lah penting dalam hidup kita iaitu "hati".

You know "hati"?, mesti kita tahu bukan? Kita lupa nak jaga dan pimpin hati kita ni. Hati di sini ialah hati rohani. Hati qalbu iaitu hati nurani tempat letaknya iman dan Islam.


“Jagalah hati jangan kau kotori, jagalah hati lentera hidup kamu”. Itu antara lagu berkaitan hati. Salah satu penyakit yang merosakkan kehidupan beriman kita ialah sifat takbur.

Wajib kita jaga hati supaya jangan sampai takbur merosakkan kita. Di sini penulis ingin berkongsi bahaya dan cara merawat penyakit takbur. Sifat takbur (sombong) adalah Mazmumah yang wajiblah sangat2 dikikis segera. Kalau tidak ia akan menutup semua jalan kebaikan yang mungkin dilakukan seseorang.

Hampir semua manusia ada sifat ego atau sombong -->(senang nak kata saya pun ada). Untuk membuangnya, amat susah sekali. Imam Ghazali berkata, bahawa sifat ego itu hampir mustahil dapat dibuang semuanya dari jiwa manusia. Bagaimanapun, kita perlu berusaha mengurangkannya. Kita mesti cuba merendah diri dengan memaksa hati merasa dan mengakui kelemahan dan kekurangan kita sebagai manusia biasa.

Dalam perselisihan pendapat/pergaduhan kita dengan orang lain misalnya, cuba rasakan kesilapan itu di pihak kita. Atau paling2 tidak pun, akuilah bahawa kita juga turut bersalah. Bukankah ada pepatah mengatakan, “Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi?” Kalau kita mampu dan berani mengakui kesalahan, mampulah kita meminta maaf.

Hanya dengan meminta maaf sahaja dosa kita sesama manusia akan terhapus. Oleh itu, kita perlu melatih diri melawan sifat sombong atau takbur itu. Latihan yang lebih berkesan lagi ialah biasakan diri tinggal bersama dengan orang yang dipandang rendah oleh masyarakat.

Orang susah, peminta sedekah, orang cacat dan siapa sahaja yang setaraf, kita dampingnya dan gauli mereka. Duduk, bercakap, minum dan tidur baring bersama mereka hingga kita rasa sama seperti mereka. Haahhh, waktu itu jiwa ego kita akan berasa kesal, terhina dan terseksa sekali kerana kita merasakan orang lain semua mengejek dan merendah-rendahkan kita.

Biarkan. Bisikkan kat hati kita ini, “Memang awak ini asalnya miskin dan hina. Berasal dari tanah dan akan menjadi tanah. Datang ke dunia dulu tanpa seurat benang dan sesen wang.”

Kalaulah amalan itu dibiasakan, Insya-Allah sifat ego sedikit demi sedikit dapat kita buang. Alah bisa tegal biasa dan yakinlah ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.



Dan selalu ingatlah firman Allah: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia(kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak suka seseorang yang sombong lagi membangga diri.” (Surah Luqman ayat 18).



Janganlah kita berjalan di muka bumi dengan sombong kerana kekayaan kita.
Kekuatan kita tentu tidak dapat membelah bumi dan ketinggian kita tetap tidak dapat menyamai bukit.



Allah berfirman lagi: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah satu golongan menghina golongan yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihina lebih baik dari mereka yang menghina. Dan jangan pula wanita (menghina) wanita-wanita lain kerana boleh jadi wanita yang dihina lebih baik dari wanita yang menghina.”
(Surah Al Hujurat ayat 11).




Ia adalah lawan kepada sifat sombong, hasad dengki dan berdendam sesama manusia. Untuk mendapatkannya, kita kenalah melakukan latihan. Untuk menyayangi orang yang kita sayang itu memanglah mudah, itu bukan latihan namanya. Untuk sayang ayah dan ibu kita, ia tidak perlukan latihan. Dah memang fitrah semula jadi kita sayang kepada ibu dan ayah.

Tetapi yang memerlukan latihan ialah untuk berbuat baik kepada orang yang tidak pernah berbuat baik kepada kita atau berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita. <--(Woww,boleh ke?) Latihan itu sangat susah hendak dilakukan kerana ia sangat bertentangan dengan nafsu. Tetapi kita diminta juga untuk mengusahakannya.

Sebab itu Rasulullah pernah bersabda: “Hendaklah buat baik kepada orang yang buat jahat kepada kamu.” Biasanya kita hanya boleh berbuat baik dengan orang yang berbuat baik kepada kita sahaja bukan?

Kalau ada kawan yang menyinggung kita, tak sanggup kita nak berbuat baik kepadanya. Sebab itulah kita kenalah latih melawan kemahuan jahat itu. Caranya, orang yang kita tidak suka itu, kita ajak makan bersama, ajak berbual, ajak bermesra, ajak berjalan dan lain-lain lagi. Hal ini memanglah boleh membuatkan hati susah sedikit(ingat senang ke?). Tapi kita cubalah, perlahan2 pun tidak mengapa.

Tidak mungkin sekali dua kita usahakan, kita terus mendapat hasilnya. Kita kena lakukan latihan itu sepanjang masa. Bila ada peluang melakukannya, teruslah bertindak. Sanggupkah kita membuat latihan seperti yang disebutkan tadi?(saya pun tengah cuba ni, he3). Kalau kita mampu buat, kitalah wira kerana sanggup memerangi nafsu. Ertinya sanggup memerangi diri sendiri. Namun, ia bukannya perkara mudah.

Amat susah sekali, terseksa kita nak dibuatnya. Kadang2 kita hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat baik kepada kita pun amat susah. Apatah pula hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat jahat kepada kita. Tentu lebih sulit lagi bukan?. Namun, melalui latihan yang bersungguh-sungguh, Insya-Allah ia akan dipermudahkan Allah.



Allah kan ada berfirman yang bermaksud: “Mereka yang berjuang di jalan Kami nescaya Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.” (Surah Al Ankabut ayat 69).

Saturday 14 July 2012

Apakah Kita Rela !!


Sama ada kita sedar atau tidak, percaya atau tidak, sesungguhnya  banyak sekali nikmat Allah pada kita, hingga kita tidak dapat menghitungnya satu persatu. Kebanyakan antara kita memang tidak menyedari satu persatu pun di antara nikmat-nikmat yang banyak itu. Kita lupa kepada yang mengurniakan nikmat.


Berapa banyakkah nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada seorang yang keluar dari rumahnya sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya, berjalan dengan langkah yang yakin, menghirup udara segar melalui tarikan nafas yang lancar, makan dan minum apa sahaja yang berada di hadapan, menebarkan pandangannya ke serata hidupan alam yang diterpa sinar mentari pagi sambil mendengarkan dendangan dan lagu kehidupan. Nikmat Islam yang mengeluarkan kita daripdaa kegelapan kepada cahaya, nikmat akal fikiran yang membolehkan kita berfikir dan melakukan bermacam-macam perkara, nikmat kesihatan dan sebagainya. Dan tidak tertulis di dada helaian maya ini tentang nikmat kuniaan Allah kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud; “Jika kamu hendak menghitung nikmat Allah maka kamu tidak dapat menghitungnya.” Surah: ibrahim

Nikmat kesihatan adalah anugerah yang amat mahal nilainya. Tubuh badan yang sihat dan akal fikiran yang waras adalah kurniaan Allah yang tidak dapat dibayar dan dibeli dengan wang ringgit, emas atau segala bentuk benda yang berharga di dunia ini. Jika anda alpa dan leka daripada menghargai nikmat tersebut adalah satu kerugian yang amat besar dan satu kekufuran sebagai hamba Allah. Juga kesempurnaan anggota-anggota tubuh anda semuanya adalah anugerah Allah buat anda, oleh kerana itu insaf dan sedarlah segera kerana nikmat Allah yang tidak terhitung. Bersyukurlah kepada-Nya. Mulai sekarang nikmatilah anugerah yang amat bernilai, hargailah hadiah kehidupan yang diberikan kepada kita, dan pujilah Allah sebanyak-banyaknya yang mengatur dan memberi nikmat-nikmat tersebut kepada secara percuma.

Tahukah anda sesungguhnya ramai lagi manusia malang yang tidak dapat merasakan nikmat-nikmat ini? Dan tiada siapa tahu betapa pilu dan sebaknya hati mereka dengan kekurangan yang ada. Hanya Allah sahaja yang dapat mengetahui isi hati mereka yang malang ini. Namun demikian, samada kita memiliki kelebihan atau kekurangan, sebagai hamba-Nya kita hendaklah berterima kasih dan bersyukur kepada-Nya kerana diberikan kesempatan untuk menikmati erti kehidupan di dunia yang fana ini.

Mereka yang bernasib malang itu dalam pelbagai macam penyakit, cacat, kurang akal dan sebagainya. Di antara mereka ada yang terpaksa hidup terperam di dalam bilik dari tahun ke tahun tanpa bergerak kerana penyakit.

Ada pula yang setiap saat berusaha menarik nafas untuk menghirup udara segar, juga untuk mengisi paru-parunya dengan udara itu, tetapi ia hanya mampu menghirup sedikit udara segar itu. Itu pun terpaksa dikeluarkannya semula bersama darah meleleh dari rongga hidung dan mulutnya. Tidak sedikit pula orang yang hidup dengan cacat anggota tubuh dan inderanya. Dan ada juga yang bersusah payah hanya untuk menelan sesuap makanan, kerana alat penghadamannya rosak. Dan demikianlah seterusnya. Sekiranya ternyata anda selamat dari semua penyakit ini, apakah anda masih sangsi bahawa takdir telah membekali anda dengan kekayaan yang sedikit? Atau, memberi anda sesuatu yang tidak berharga? Sekali-kali tidak.

 Sungguh keliru sekali apabila anda orang menyangka bahawa modal utama anda adalah emas dan perak yang anda miliki. Sebenarnya, modal anda yang asli itu adalah sejumlah anugerah: kecerdasan, kemampuan dan kebebasan anda. Dan termasuk kekayaan anda adalah kesihatan yang sempurna dan kesejahteraan yang memancar dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, yang merupakan nikmat-nikmat Allah kepada anda, yang dapat anda pergunakan dalam kehidupan sesuka hati anda.

Namun anehnya, kebanyakan manusia meremehkan kekayaan asli yang mereka miliki secara bersendirian itu, yang tidak dicampuri oleh orang lain. Sudah tentu sikap tidak menghargai nikmat seperti ini adalah kekufuan yang patut mendapat celaan dan teguran. Dale Carnegie bertanya: “Apakah anda bersedia menjual kedua-dua biji mata anda dengan harga satu billion ringgit? Berapakah harga yang anda rasa cukup untuk membayar kedua-dua kaki anda? Teling anda? Anak-anak anda? Atau keluarga anda?

Sekarang cuba anda hitung kekayaan anda yang berupa anugerah Allah yang tidak ternilai ini, kemudian kumpulkanlah bahagian-bahagiannya, maka anda akan melihat bahawa ia tidak dapat dinilai dengan emas yang telah dikumpulkan oleh keluarga Rockefeller dan keluarga Ford.




(Tazkirah dari Rahman Awang Nor)

Thursday 12 July 2012

Pasang dan Surutnya Iman Seseorang

SEBUT  saja soal keimanan, ia waktu pasang dan surutnya bertambah atau berkurangan. Apabila bertambah amalan dan ketaatan, itu petanda iman sedang pasang manakala sekiranya semakin berkurangnya amalan dan bertambah pula kemaksiatan, itu tandanya iman semakin surut.

Sebagai renungan, mari sama-sama kita berkongsi kenapa dan apa sebabnya iman boleh menurun dan merosot supaya ia menjadi sempadan dan pedoman dalam menguruskan hati dan iman supaya sentiasa segar. 


  • Antara sebab turunnya kadar iman seseorang kerana:


Kebodohan 
Kebodohan adalah pangkal daripada pelbagai perbuatan buruk. Seseorang berbuat jahat boleh jadi kerana dia tidak tahu bahawa perbuatan itu dilarang agama. 


Mereka juga mungkin tidak tahu ancaman dan bahaya yang akan dihadapinya kelak di akhirat atau ia tidak tahu keperkasaan Sang Maha Kuasa yang mengatur denyut jantungnya, mengatur musibah dan rezekinya.

Tidak ambil tahu 
Tidak peduli menyebabkan fikiran seseorang diisi dengan hal duniawi yang mereka sukai (yang dia pedulikan), sedangkan yang bukan dia sukai tidak diberi tempat di fikirannya.


Itu menyebabkan dia tidak ingat (zikir) kepada Allah, sifatnya tidak tulus, tidak mempunyai rasa takut dan malu (kepada Allah), tidak berasa berdosa (tidak perlu taubat) dan boleh jadi dia menjadi sombong kerana tidak merasakan pentingnya berbuat rendah hati dan sederhana.


Keengganan seseorang melakukan kebaikan padahal dia tahu hal itu diperintahkan Allah, maka dia termasuk orang yang menzalimi (melalaikan) dirinya sendiri.


Allah akan mengunci hatinya dari jalan yang lurus (Surah al-Kahfi 18:5) dan dia akan menjadi teman syaitan (Surah Thaaha 20:124).


Melupakan kewajipan dan kepatuhan seseorang dalam beribadah daripada sifat lalai atau lemah hatinya.


Waktunya perlu didorong supaya dapat diisi dengan lebih banyak perbuatan amal soleh. Kalau tidak, kesenangan duniawi akan semakin menguasai dirinya hingga dia semakin jauh daripada mengingati Allah

Berterusan melakukan perbuatan dosa
Awal daripada perbuatan dosa adalah sikap tidak patuh terhadap perintah dan larangan Allah. Perbuatan

dosa umumnya dilakukan secara bertahap, contohnya dimulai daripada zina pandangan mata yang dianggap dosa kecil kemudian berkembang menjadi zina tubuh.


Dosa kecil yang dilakukan adalah proses pendidikan jahat untuk melakukan dosa besar. Justeru, jauhilah daripada melakukan dosa kecil sebelum ia tumbuh menjadi dosa besar.

Jiwa yang selalu mendesak melakukan perkara jahat
Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah mengatakan, Allah menggabungkan dua jiwa iaitu jiwa jahat dan jiwa yang tenang dalam diri manusia.


Mereka saling bermusuhan dalam diri seorang manusia. Ketika salah satunya kian lemah, maka yang lain akan terus kuat.

Perang antara kedua-duanya berlangsung sehingga mereka meninggal dunia. Sungguh rugi orang-orang yang jiwa jahatnya menguasai diri.


Rasulullah bersabda yang bermaksud: “...barang siapa yang diberi petunjuk Allah maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barang siapa yang disesatkannya maka tidak ada seorangpun yang dapat memberinya petunjuk”.


Sifat lalai, tidak mahu belajar agama, sombong dan tidak peduli adalah beberapa cara membenamkan jiwa jahat dalam tubuh manusia.


Sedangkan sifat rendah hati, mahu belajar, melakukan muhasabah diri adalah cara menguatkan jiwa kebaikan yang ada dalam tubuh kita.

  • Sebab-sebab luaran diri kita pula ialah:


Syaitan 
Syaitan adalah musuh manusia yang sentiasa berusaha untuk merosakkan keimanan seseorang. Siapa saja yang tidak menghalangi dirinya akan menjerumuskan diri dalam kesesatan.

Pujukan dan rayuan dunia
Allah berfirman yang bermaksud: “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga mengenai banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu”.(Surah al-Hadiid 57:20).


Tujuan hidup manusia seluruhnya adalah untuk mengejar akhirat. Apapun kegiatan dunia yang kita lakukan seperti mencari nafkah, menonton televisyen, bertemu teman dan keluarga, semua itu bertujuan untuk meraih pahala di akhirat.


Ibnu al-Qayyim mengibaratkan hati sebagai wadah bagi tujuan hidup manusia (akhirat dan duniawi) dengan daya tampung tertentu.

Pergaulan buruk
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seseorang itu terletak pada agama teman dekatnya, sehingga masing-masing kamu sebaiknya melihat kepada siapa dia mengambil teman dekatnya” (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, al-Hakim, al-Baghawi).


Seorang teman yang soleh selalu memperhatikan perintah dan larangan Allah kerana dia selalu mengajak siapa saja orang di sekitarnya menuju ke arah kebaikan dan mengingatkan mereka apabila mendekati kemungkaran.


Bersahabat dengan orang soleh sangat penting untuk kita miliki pada zaman ini kerana pergaulan manusia sangat bebas dan tidak lagi memperhatikan nilai Islam.

Fans

Update Facebook dengan Islamic