Friday 23 September 2011

Kasihi & Selalu Dekati Anak

ANAK-anak adalah permata paling berharga setiap pasangan. Mereka menjadi pelengkap kepada kebahagiaan yang dikecapi ibu bapa di dunia ini.
Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak mereka menjadi insan soleh dan solehah. Paling penting, anak perlu dilatih bersolat, dilatih mencium tangan serta memeluk dengan penuh kasih dan sayang.
Jika anak bijak dan sering memenangi pertandingan di sekolah, jangan lupa ucapkan tahniah, peluk dan cium mereka tanda penghargaan. Ketika usia mereka mencapai 14 hingga 21 tahun, jadikan mereka kawan.


Jangan pula pada usia begini ibu bapa mula merenggangkan hubungan dengan anak-anak hingga mereka menjadi anak derhaka. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Berguraulah dengan anak kamu ketika usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Selepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran).”


Ibu bapa mungkin mempunyai alasan tidak rapat dengan anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain iaitu apabila pulang di tengah malam, anak-anak sudahpun tidur, kita boleh pergi bilik dan mencium dahi mereka.


Walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup. Jangan tunjuk sikap panas baran dan pemarah kepada mereka. Jangan sesekali mengherdik mereka dengan perkataan negatif seperti kurang ajar, bodoh atau dengan sumpah seranah kerana ia boleh jadi doa buat mereka.


Orang tua biasanya, pantang sungguh apabila anak menegur kesalahan. Jangan berasa tercabar kerana bisa ular tidak hilang walaupun menyusur akar.


Saidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima.
Begitu juga Rasulullah s.a.w. kalau jumpa anak kecil, baginda hormat dan sayang.


Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah. Perasaan anak juga mesti dihargai.


Sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak dan kalau menegur pun dengan herdikan.
Anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan & orang lainlah tempat mereka mengadu, apabila jumpa orang baik tidak mengapa.




Jika Allah menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Apa caranya jika orang tua sudah meninggal dunia tetapi semasa hidypnya kita derhaka? Apabila insaf, selalulah ziarahi kubur emak ayah dan bacakan ayat suci untuknya.


Jumpa semula kawan atau jiran dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu reda dan Allah ampunkan dosa mereka.


Allah Maha Pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup pasti tidak tenteram.


Justeru, pertama, pastikan hubungan kita dengan Allah adalah baik kemudian turun pula ke peringkat kedua iaitu hubungan dengan ibu. Pastikan hubungan dengan ibu sentiasa harmoni dan lancar.


Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, Nabi s.a.w suruh utamakan ibu.


Sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biarlah sama supaya kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan.


Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka, kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua.


Bersabarlah dan teruskan hubungan baik dengan mereka. Kewajipan anak lelaki pertama sekali kepada Allah, kedua kepada Rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri.


Isteri kena faham, kalau suaminya sayang dan melebihkan ibu bapanya, itu memang wajar. Bagi anak perempuan pula keutamaan pertama adalah kepada Allah, kedua Rasul dan ketiga suami.


Justeru, jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.


Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail a.s. Suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah.


Isterinya pun tidak kenal mentuanya. Menantunya bersikap kasar menyebabkan Nabi Ibrahim berkecil hati. Sebelum pulang dia berpesan kepada menantunya, menyuruh suaminya supaya menukar alang rumah kepada yang baru.


Apabila Nabi Ismail pulang, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki itu, menyampaikan pesan kepada suaminya itu. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya.


Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, yang isterinya bukan daripada kalangan wanita berakhlak, lalu diceraikan.

Friday 16 September 2011

Usah ragu terhadap Allah


IMAN adalah membenarkan dengan hati, mengucapkan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan (beramal). Dengan demikian, iman kepada Allah bererti meyakini dengan sepenuh hati Allah itu ada.
Sebagai Muslim, jangan ada sebarang keraguan terhadap Allah. Kadang-kadang kita alpa untuk mencari dan mengenali Allah. Ilmuwan, ustaz serta mubaligh janganlah berputus asa dalam memperkenalkan Allah kepada penganutnya yang masih tercicir dengan ilmu tauhid ini. 
Gunakan segala kebijaksanaan dalam mengajar, manalah tahu cara berhikmah kita menjadi sebab untuk mereka akhirnya mencintai Allah terutamanya kepada yang setengahnya mengenal Tuhan menggunakan logik akal saja tanpa berpandukan hujah naqli (ayat al-Quran dan hadis). 

Islam sememangnya logik dan masuk akal walaupun berbicara mengenai perkara ghaib, qada dan qadar, jin dan sebagainya yang hanya nampak tersembunyi sedangkan sangat jelas kalau dilihat dengan dalil al-Quran dan hadis serta rohani yang bersih.



Sebagai contoh yang kita pernah dengar sekiranya kita membelek kitab ringan untuk mereka yang baru belajar, rasanya sangat sesuai untuk tatapan remaja di ruangan tazkirah kali ini.


Contohnya, kisah seorang pemuda yang belajar di negara barat kononnya mendakwa dirinya pandai. Apabila pulang ke tanah air, dia mencari orang pandai kerana ingin berhujah mengenai ketuhanan dan perkara ghaib. 


Akhirnya dia bertemu seorang tua yang alim. Tanya pemuda berkenaan: Anda siapa? Dan apakah boleh menjawab pertanyaan saya? 



Jawab orang tua berilmu itu: Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan cuba menjawab pertanyaan anda. 



Tanya pemuda: Anda yakin? Sedangkan profesor dan ramai orang pintar tidak mampu menjawab pertanyaan saya. 





Jawab orang tua alim itu: Insya-Allah saya akan mencuba sejauh kemampuan saya. 




1. Kalau memang Tuhan itu ada, tunjukkan kewujudan Tuhan kepada saya? 



2. Apakah yang dinamakan takdir? 



3. Kalau syaitan diciptakan dari api kenapa dimasukkan ke dalam neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan sebab mereka memiliki unsur yang sama. Sama-sama daripada api. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu? 



Tiba-tiba orang itu menampar pipi pemuda itu dengan kuat. Tanya pemuda itu sambil menahan sakit: Kenapa anda tampar saya, adakah marah kepada saya? 


Jawab orang alim itu: Saya tidak marah... tamparan itu adalah jawapan saya atas tiga pertanyaan yang anda ajukan kepada saya. 



Pemuda: Saya sungguh-sungguh tidak mengerti. 



Tanya orang alim: Bagaimana rasanya tamparan saya? 



Jawab pemuda: Tentu saja saya merasakan sakit. 



Tanya orang alim: Jadi anda percaya bahawa sakit itu ada? 



Jawab Pemuda: Ya. 



Tanya alim: Tunjukkan pada saya wujud sakit itu! 



Jawab Pemuda: Saya tidak mampu. 



Orang alim: Itulah jawapan pertanyaan pertama. Kita tidak nampak sakit tapi rasa sakit dan percaya adanya sakit itu. Allah tidak nampak tetapi kena percaya adanya Allah. Semua merasakan ada Tuhan tanpa mampu melihat wujudnya. 



Tanya orang alim: Apakah tadi malam anda bermimpi akan ditampar oleh saya? 



Jawab pemuda: Tidak. 



Tanya alim lagi: Apakah anda terfikir akan menerima tamparan dari saya hari ini? 



Jawab pemuda: Tidak. 



Si alim menjawab: Itulah yang dinamakan takdir, kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok dan hari-hari mendatang. 



Tanya si alim lagi: Tangan saya diperbuat daripada apa yang digunakan untuk menampar anda? 



Jawab pemuda: Kulit. 



Tanya si alim lagi: Pipi anda dibuat daripada apa? 



Jawab pemuda: Kulit. 



Tanya si alim lagi: Bagaimana rasanya tamparan saya? 



Jawab Pemuda: Sakit. 



Jawab si alim: Tangan saya dan pipi anda sama sahaja. Ada kulit, daging tetapi anda boleh rasa sakit juga. Jika Tuhan berkehendak maka neraka akan menjadi tempat menyakitkan untuk syaitan. 


Sebagaimana juga tangan saya sama ada daging atau kulit, sepatutnya anda tidak merasa sakit. 



Semoga contoh tidak seberapa ini akan menjadi iktibar mengenai yang ghaib dan tersembunyi sebenar ada dan mesti dipercayai.



(Tazkirah dari Ustaz Mohd Zawawi Yusoh)






Fans

Update Facebook dengan Islamic