Friday 11 March 2011

Syukur, Sabar, Taubat: Kebahagiaan Abadi

BAHAGIA adalah keinginan yang dicita-cita semua orang. Tidak kira sesiapa pun kita sana ada mukmin atau kafir.

Malah, seorang pelacur pun ingin menikmati kebahagiaan melalui kegiatan pelacuran yang dilakukan.
Meskipun semua orang ingin bahagia, ramai manusia tidak mengetahui bahagia yang sebenarnya tidak mengetahui cara untuk meraihnya. Ramai beranggapan orang Barat hebat.Mereka dianggap hidup penuh dengan kebahagiaan, suami isteri sering berpegang tangan ketika berjalan nampak macam ada ketenteraman serta ketenangan.

Sebenarnya, fakta tidak sama dengan realitinya. Lihatlah tragedi pembunuhan yang amat tragik, hidup mereka penuh kebebasan tanpa sempadan & dengan mudah maruah digadai menerusi 'free love' & 'free sex'. Mereka seronok tetapi tidak bahagia. Seronok hanya sementara berbanding bahagia. Malah, seronok hanya nafsu & fizikal yang tidak tahan lama selain keseronokan tanpa bahagia biasanya berakhir dengan penderitaan.

Hakikatnya, tidak ada ketenangan & kebahagiaan apabila derhaka kepada Allah. Kebahagiaan seseorang mukmin kian bertambah ketika dia dekat dengan Tuhannya, semakin ikhlas & mengikuti petunjuk-Nya. Kebahagiaan seseorang mukmin semakin berkurang jika hal diatas makin berkurang dalam dirinya. Seseorang mukmin sejati selalu merasakan ketenangan dalam hati.

Dia menyedari Tuhan yang mengatur segala sesuatu dengan kehendak-Nya. Apa itu bahagia?
Bahagia adalah sesuatu yang abstrak, tidak boleh dilihat dengan mata, tidak boleh diukur dengan angka tertentu & tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Kebahagiaan adalah sesuatu yang dirasakan seseorang insan dalam dirinya. Hati yang tenang, dada lapang & jiwa tidak dirundum malang, itulah kebahagiaan.

Bahagia itu muncul dari dalam diri seseorang & tidak boleh didatangi dari luar. Tanda kebahagiaan, Imam Ibnu Al-Qoyyim mengatakan bahawa tanda kebahagiaan itu ada 3.
TIGA perkara berkenaan adalah
bersyukur ketika mendapat nikmat, bersabar ketika menerima dugaan & bertaubat ketika melakukan kesalahan. Beliau mengatakan: Sesungguhnya 3 perkara itu tanda kebahagiaan seseorang hamba & tanda keberuntungannya di dunia & di akhirat. Seseorang hamba tidak pernah terlepas dari 3 perkara itu.

Bersyukur ketika mendapat nikmat:
Seseorang manusia selalu berada dalam nikmat Allah. Meskipun demikian, ternyata hanya orang yang berimanlah yang menyedari adanya nikmat itu & berasa bahagia dengannya. Lantaran itu, hanya merekalah yang mensyukuri nikmat, mengakui adanya nikmat & menyanjung zat yang dianugerahkannya.

Syukur dibina atas 5 prinsip iaitu:
Ketundukan orang yang bersyukur kepada yang memberi nikmat.
Rasa cinta kepada yang memberi nikmat.
Mengakui adanya nikmat yang diberikan.
Memuji yang memberi nikmat.
Tidak menggunakan nikmat dalam hal yang tidak disukai oleh yang memberi nikmat.

Justeru, siapa saja yang berpegang pada 5 prinsip di atas pasti merasakan kebahagiaan di dunia & di akhirat. Sebaliknya, jika 5 prinsip di atas tidak dilaksanakan dengan sempurna menyebabkan kesengsaraan selamanya.

Sabar ketika menerima dugaan:
Dalam hidup ini disamping ada nikmat yang harus di syukuri, ada juga pelbagai ujian/dugaan daripada Allah & wajib kita bersabar ketika menghadapinya.

Ada 3 rukun sabar yang harus di penuhi supaya kita boleh dianggap benar-benar bersabar:
Menahan hati untuk tidak berasa marah terhadap ketentuan Allah.
Menahan lisan untuk tidak mengadu kepada makhluk.
Menahan anggota badan untuk tidak melakukan hal yang tidak dibenarkan kerika terjadi musibah seperti menampar pipi, merobek baju & sebagainya.

Inilah 3 rukun kesabaran, jika kita mampu melaksanakannya dengan benar, dugaan pasti berubah menjadi sebuah kenikmatan.

Bertaubat ketika melakukan kesalahan:
Jika Allah menghendaki seseorang hamba untuk mendapatkan kebahagiaan & keberuntungan di dunia & di akhirat, Allah pasti menberi taufik kepada dirinya untuk bertaubat, merendahkan diri dihadapan-Nya serta mendekatkan diri kepada Allah dengan pelbagai kebaikan yang mampu untuk dilaksanakan.

Hasan al-Bashri mengatakan:"Carilah kenikmatan & kebahagiaan dalam 3 hal iaitu dalam Solat, Berzikir & Membaca Al-Quran, jika tidak kalian dapatkan 3 hal itu maka sedarilah bahawa pintu kebahagiaan sudah tertutup bagimu."

Malik bin Dinar mengatakan, "Tidak ada kelazatan selazat mengingati Allah". Ada ulama' salaf yang mengatakan, "Pada malam hari orang gemar solat malam itu merasakan kelazatan yang lebih dari kelazatan yang dirasakan orang yang bergelumang dalam hal yang sia-sia. Seandainya bukan kerana adanya malam tentu aku tidak ingin hidup lebih lama di dunia ini."

Imam Ibnu Qoyyim bercerita bahawa: Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan: "Sesungguhnya dalam dunia ini ada syurga. Barang siapa belum pernah memasukinya maka dia tidak memasuki syurga di akhirat kelak."



(Tazkirah dari
Ustaz Mohd Zawawi Yusoh)

No comments:

Fans

Update Facebook dengan Islamic