Saturday 14 July 2012

Apakah Kita Rela !!


Sama ada kita sedar atau tidak, percaya atau tidak, sesungguhnya  banyak sekali nikmat Allah pada kita, hingga kita tidak dapat menghitungnya satu persatu. Kebanyakan antara kita memang tidak menyedari satu persatu pun di antara nikmat-nikmat yang banyak itu. Kita lupa kepada yang mengurniakan nikmat.


Berapa banyakkah nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada seorang yang keluar dari rumahnya sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya, berjalan dengan langkah yang yakin, menghirup udara segar melalui tarikan nafas yang lancar, makan dan minum apa sahaja yang berada di hadapan, menebarkan pandangannya ke serata hidupan alam yang diterpa sinar mentari pagi sambil mendengarkan dendangan dan lagu kehidupan. Nikmat Islam yang mengeluarkan kita daripdaa kegelapan kepada cahaya, nikmat akal fikiran yang membolehkan kita berfikir dan melakukan bermacam-macam perkara, nikmat kesihatan dan sebagainya. Dan tidak tertulis di dada helaian maya ini tentang nikmat kuniaan Allah kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud; “Jika kamu hendak menghitung nikmat Allah maka kamu tidak dapat menghitungnya.” Surah: ibrahim

Nikmat kesihatan adalah anugerah yang amat mahal nilainya. Tubuh badan yang sihat dan akal fikiran yang waras adalah kurniaan Allah yang tidak dapat dibayar dan dibeli dengan wang ringgit, emas atau segala bentuk benda yang berharga di dunia ini. Jika anda alpa dan leka daripada menghargai nikmat tersebut adalah satu kerugian yang amat besar dan satu kekufuran sebagai hamba Allah. Juga kesempurnaan anggota-anggota tubuh anda semuanya adalah anugerah Allah buat anda, oleh kerana itu insaf dan sedarlah segera kerana nikmat Allah yang tidak terhitung. Bersyukurlah kepada-Nya. Mulai sekarang nikmatilah anugerah yang amat bernilai, hargailah hadiah kehidupan yang diberikan kepada kita, dan pujilah Allah sebanyak-banyaknya yang mengatur dan memberi nikmat-nikmat tersebut kepada secara percuma.

Tahukah anda sesungguhnya ramai lagi manusia malang yang tidak dapat merasakan nikmat-nikmat ini? Dan tiada siapa tahu betapa pilu dan sebaknya hati mereka dengan kekurangan yang ada. Hanya Allah sahaja yang dapat mengetahui isi hati mereka yang malang ini. Namun demikian, samada kita memiliki kelebihan atau kekurangan, sebagai hamba-Nya kita hendaklah berterima kasih dan bersyukur kepada-Nya kerana diberikan kesempatan untuk menikmati erti kehidupan di dunia yang fana ini.

Mereka yang bernasib malang itu dalam pelbagai macam penyakit, cacat, kurang akal dan sebagainya. Di antara mereka ada yang terpaksa hidup terperam di dalam bilik dari tahun ke tahun tanpa bergerak kerana penyakit.

Ada pula yang setiap saat berusaha menarik nafas untuk menghirup udara segar, juga untuk mengisi paru-parunya dengan udara itu, tetapi ia hanya mampu menghirup sedikit udara segar itu. Itu pun terpaksa dikeluarkannya semula bersama darah meleleh dari rongga hidung dan mulutnya. Tidak sedikit pula orang yang hidup dengan cacat anggota tubuh dan inderanya. Dan ada juga yang bersusah payah hanya untuk menelan sesuap makanan, kerana alat penghadamannya rosak. Dan demikianlah seterusnya. Sekiranya ternyata anda selamat dari semua penyakit ini, apakah anda masih sangsi bahawa takdir telah membekali anda dengan kekayaan yang sedikit? Atau, memberi anda sesuatu yang tidak berharga? Sekali-kali tidak.

 Sungguh keliru sekali apabila anda orang menyangka bahawa modal utama anda adalah emas dan perak yang anda miliki. Sebenarnya, modal anda yang asli itu adalah sejumlah anugerah: kecerdasan, kemampuan dan kebebasan anda. Dan termasuk kekayaan anda adalah kesihatan yang sempurna dan kesejahteraan yang memancar dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, yang merupakan nikmat-nikmat Allah kepada anda, yang dapat anda pergunakan dalam kehidupan sesuka hati anda.

Namun anehnya, kebanyakan manusia meremehkan kekayaan asli yang mereka miliki secara bersendirian itu, yang tidak dicampuri oleh orang lain. Sudah tentu sikap tidak menghargai nikmat seperti ini adalah kekufuan yang patut mendapat celaan dan teguran. Dale Carnegie bertanya: “Apakah anda bersedia menjual kedua-dua biji mata anda dengan harga satu billion ringgit? Berapakah harga yang anda rasa cukup untuk membayar kedua-dua kaki anda? Teling anda? Anak-anak anda? Atau keluarga anda?

Sekarang cuba anda hitung kekayaan anda yang berupa anugerah Allah yang tidak ternilai ini, kemudian kumpulkanlah bahagian-bahagiannya, maka anda akan melihat bahawa ia tidak dapat dinilai dengan emas yang telah dikumpulkan oleh keluarga Rockefeller dan keluarga Ford.




(Tazkirah dari Rahman Awang Nor)

Fans

Update Facebook dengan Islamic